Soalan:
Apakah hukum bagi bulu binatang yang halal dan yang haram dimakan, bagaimana sekiranya ia terlekat pada tempat sembahyang?
Jawapan:
Untuk menjawab pertanyaan ini kami kemukakan ayat Al Quran dan hadith Rasulullah SAW. Allah berfirman dalam surah Al An'am ayat 145, maksudnya: "Katakanlah: tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor..."
Menurut Fiqih Sunnah Sayid Sabiq, mengenai bulu babi menurut pendapat ulamak yang terkuat dibolehkan untuk diambil sebagai benang jahit. Begitu juga halnya dengan anjing, Rasulullah SAW bersabda: "Mensucikan bejanamu yang dijilat oleh anjing ialah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, mula-mulanya dengan tanah." (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi)
Mencuci dengan tanah maksudnya ialah mencampurkan ke dalam air hingga menjadi keruh. Jika ia menjilat ke dalam bejana yang berisi makanan kering, hendaklah dibuang mana yang terkena jilatan dan sekelilingnya. Sedang sisanya tetap digunakan kerana suci. Mengenai bulu anjing, maka pendapat yang terkuat ia adalah suci, dan tak ada alasan megatakan ianya najis. Seandainya bulu binatang yang terlekat pada tempat solat itu melekat kotoran atau najisnya sehingga mengotorkan tempat solat maka tidak sah solat, kerana salah satu syarat-syarat sah solat hendaklah bersih badan, pakaian dan tempat daripada najis.
Bulu Binatang
ilmiah | Rabu, 24 Disember 2008
Mencuci Telekung Dengan Mesin Basuh
ilmiah |
Soalan:
Apa pendapat tuan tentang mencuci telekung dengan menggunakan mesin basuh?
Setengah orang mengatakan tak suci.
Jawapan:
Salah satu syarat sah solat adalah suci badan, pakain dan tempat daripada najis, jika pakaian yang kita gunakan itu suci daripada najis maka ianya telah memenuhi syarat tersebut. Tidak kiralah dengan cara bagaimana kita membasuhnya, apakah dengan tangan, dengan mesin basuh atau memerahnya di sungai dan sebagainya. Haruslah dengan air yang mengalir. Jika dengan mesin , 1 X dibilas dengan air sabun dan 2 X dibilas dengan air biasa, sudah memadai.
Jenis Debu/Tanah Untuk Tayamum
ilmiah |
Soalan:
Dalam situasi krisis air yang melanda di tempat saya ketika ini, kemungkinan bertayamum terpaksa dilaksanakan demi untuk melakukan solat. Namun kemusykilan saya adalah dari segi debu yang bagaimanakah harus saya gunakan memandangkan persekitaran tempat kediaman saya yang tidak bersih?
Jawapan:
Allah jadikan permukaan bumi ini bagi umat Nabi Muhammad suatu rahmat yang boleh digunakan untuk membersihkan diri dari hadas dan najis. Rasulullah SAW bersabda: Dari Jabir bin Abdullah bahawa Nabi SAW bersabda: "Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seseorangpun sebelumku. Aku diberi kemenangan terhadap musuh sejauh perjalanan sebulan, dan dijadikan bumi ini sebagai dan alat bersuci bagiku, maka siapa saja bertemu waktu solat hendaklah ia solat di tempat itu..." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut Sayid Sabiq; boleh tayamum dengan tanah yang suci begitupun dengan segala yang sejenis tanah seperti pasir, batu, batu bata, berdasarkan firman Allah SWT: "Hendaklah kamu bertayamum dengan sha'id yang baik". Sedang ahli-ahli bahasa telah sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan sha'id itu ialah permukaan bumi, baik ia berupa tanah mahupun lainnya.
(Sila rujuk Bulughul Malam oleh Al Hafidz Bin Hajar Al Asqalani dan Fikih Sunnah Sayid Sabiq, bab tayamum)
Mengeluarkan Zakat Pendapatan
ilmiah |
Soalan:
Pendapat dari seorang ustaz :
Beliau mengatakan kita tidak perlu membuat potongan gaji untuk zakat pendapatan kerana ia belum cukup haul (setahun). Malah ia berkata tidak perlu untuk mengeluarkan zakat pendapatan kerana tidak ada dalil untuknya dan dengan menguatkan hujah beliau bahawa wang pendapatan ingin kita gunakan untuk keperluan hidup keluarga?
Jawapan:
Kerja yang dilakukan seseorang dapat dibahagi kepada kerja bebas atau persendirian yang tidak terikat dengan negara seperti doktor swasta, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan lain-lain atau kerja yang terikat dengan kerajaan atau institusi atau syarikat kerajaan atau swasta. Pegawai terlibat dibayar gaji bulanan. Kemasukan yang diperolehi oleh setiap orang yang bekerja secara bebas atau persendirian ini dikenali menurut istilah fekah dengan nama "Almaalu al mustafaadu" ertinya harta yang boleh diambil faedah.
Dalam mazhab empat telah diputuskan bahawa "Almaalu al mustafaadu" tidak wajib dikeluarkan zakat melainkan setelah mencukupi nisab dan sempurna haulnya. Menurut fuqaha As Sayfie harta yang disimpan perlu dikeluarkan zakat, sekalipun didetik yang terakhir sebelum berakhirnya haul setelah cukup nisab.
Jika berpegang dengan pendapat sesetengah sahabat seperti Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud dan Muawiyah dan pendapat sesetengah tabi'in seperti (Az Zahiri, Al Hasan Basri dan Makhul) pendapat Umar bin Abdul Aziz, Al Baqir, As Sidiq, An Nasir dan Daud Az Zahiri. Bahawa dinyatakan zakat wajib dikeluarkan ke atas "Almaalu al mustafaadu" sebaik sahaja diambil harta itu, sekalipun belum cukup haul.
Kadar wajibnya ialah 2.5% berdasarkan umum nas yang mewajibkan zakat ke atas wang ringgit iaitu 2.5% samada telah sempurna haul atau tidak atau sebaik sahaja diambil faedah. Apabila seseorang Islam mengeluarkan zakat pendapatan ketika mengambil pendapatan itu tidak perlu lagi mengeluarkan zakat sekali lagi di akhir haul.